Khamis, Disember 17, 2009

Tempoh Iddah bagi Wanita Hamil

Dicatatkan bahawa bagi perempuan yang kematian suami ketika sedang mengandung, maka iddahnya tamat apabila dia bersalin, tidak kira sama ada tempoh mengandungnya panjang ataupun pendek, atau sama ada kandungannya cukup bulan atau pun tidak.

Dalam hal ini sebenarnya ada perbincangan panjang antara fuqaha sama ada hendak dikira sehingga wanita ini bersalin ataupun melihat kepada tempoh yang paling panjang (ab’ad al-ajalayn) kerana ada pertindihan dua faktor pengiraan iddah, iaitu kematian dan kehamilan. Perbahasan lanjut hal ini boleh dirujuk dalam kitab-kitab fiqh munakahat.

Namun, mengikut pandangan yang paling kuat, tempoh iddah wanita ini habis apabila dia bersalin (berasaskan ayat ke 4 Surah al-Talaq). Mmm… diulangi, … apabila dia bersalin. Jangan ada pula yang tanya, “Kena tunggu habis nifas ke baru habis iddah?”

Baiklah, kembali kepada topik iddah untuk wanita yang hamil.

Disebutkan dalam Surah al-Talaq ayat yang ke 4, maksudnya:
“Dan bagi wanita-wanita yang hamil, maka ‘ajal’ (tempoh iddah) mereka tamat apabila mereka bersalin.”

Berdasarkan ayat ini, difahami bahawa tempoh iddah bagi perempuan yang diceraikan ketika sedang hamil akan berakhir apabila dia bersalin. Hukum ini mudah difahami kerana antara sebab diwajibkan iddah ialah untuk memastikan rahim wanita tersebut bersih daripada percampuran benih lelaki. Jadi, apabila dia bersalin, maka anak hasil percampuran dengan benih suami telah keluar dan rahimnya telah bersih. Bersih dalam erti kata, tiada benih lelaki dan tiada janin di dalam rahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan