Sabtu, Disember 19, 2009

Tempoh Iddah

Tahukah saudara berapa lamakah seseorang perempuan perlu beriddah? Satu bulan? Tiga bulan? Empat bulan? Sampai mati? atau berapa sebenarnya?

Sebenarnya lain perempuan, lain pula tempoh iddahnya. Tempoh ini bergantung kepada jenis perpisahan yang berlaku dan juga keadaan perempuan tadi. Oleh itu, iddah perempuan yang diceraikan berbeza dengan perempuan yang kematian suami. Iddah perempuan yang sedang hamil ketika perpisahan berlaku juga berbeza. Begitu juga perempuan yang telah putus haid, tidak pernah haid dll. Ops! Jangan pening. Saya akan huraikan satu persatu dalam beberapa post.

Jenis 1: Tiga kali suci

Tempoh ini ialah untuk perempuan yang masih didatangi haid dan berpisah melalui perceraian. Maksud tiga kali suci ini ialah, jika dia diceraikan, maka dia perlu beriddah sehingga tiga kali suci daripada haid.
Firman Allah s.w.t, maksudnya: “Perempuan-perempuan yang diceraikan hendaklah menahan diri mereka (menunggu) selama tiga kali quru’ (suci).” — (al-Baqarah 2:228)

Bagaimana mengiranya?

Jika dia diceraikan ketika suci dari haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja datang haid yang ketiga.
Contoh: Diceraikan dalam keadaan suci (Suci 1) > Haid 1 > Suci 2 > Haid 2 > Suci 3 > Haid 3 —— iddah habis sebaik sahaja haid 3 bermula.

Jika dia diceraikan ketika haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja kedatangan haid yang keempat.
Contoh: Diceraikan ketika haid (Haid 1) > Suci 1 > Haid 2 > Suci 2 > Haid 3 > Suci 3 > Haid 4 —— iddah habis sebaik sahaja haid 4 bermula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan